Tuesday, November 6, 2012

TITAH DYMM PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN, RAJA NAZRIN SHAH DI KONVENSYEN PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA CEMERLANG KEBANGSAAN



TITAH DYMM PEMANGKU RAJA PERAK DARUL RIDZUAN, RAJA NAZRIN SHAH DI KONVENSYEN  PENGURUSAN PENDIDIKAN PENGETUA CEMERLANG KEBANGSAAN  22.10.12, HOTEL SUNWAY PUTRA, KUALA LUMPUR

                          “MENGHAYATI EVOLUSI PENDIDIKAN”

  1. Konvensyen hari ini berlangsung dalam suasana Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 baru dilancarkan. Dalam memenuhi agenda penambaikan, jangan terlalu riak dan ria dengan kata sokongan-kata pujian kerana ada sokong membawa rebah, mati semut kerana gula. Sewajarnya panitia berdada lapang-berminda luas, menerima teguran-menerima kritikan. Moga yang cacat dapat dicantikkan, yang kurang dapat dicukupkan.

  1. Pihak panitia wajar bersifat arif, lebih mengutamakan cadangan , penyertaan, dan  perbincangan yang berkualiti serta elemen stategik.

  1. Bill Gates (1997) mencerakinkan tahun 80-an sebagai era kualiti, tahun 90-an sebagai era perekayasaan (reengineering) dan tahun20-an sebagai era kejuan (velocity). Survival di era kelajuan tidak membenarkazn sesuatu usaha bersifat statik. Pengetahuan pada hari ini berkembang pada tahap yang menakjubkan.
  2. Era kelajuan menuntut kepada keberanian melakukan pengubahsuaian, perubahan, anjakan dan penghijrahan.
  3. Ilmu dan pendidikan berkembang secara evolusi, pelbagai peristiwa, kejadian, ujian, permasalahan untuk dijadikan iktibar dan pengajaran. Dalam Al-Quran disebut kisah Nabi Adam, Ibrahim, Ismail, Musa, Nuh, Yunus dan para sahabat.
‘Dan perumpamaan-perumpamaan ini Kami buatkan untuk manusia dan tiada yang memahaminya kecuali orang-orang yang berilmu.’  Ankabut:43

  1.   Allah telah memperlihatkan nilai-nilai sabar yang tinggi, memilih proses evolusi dalam melakukan transformasi, ketika menurunkan perintah, arahan, suruhan dan larangan demi memastikan kalam-kalam Ilahi itu dapat difahami secara mendalam, peringkat demi peringkat, fasa demi fasa dan pada akhirnya dihayati sepenuhnya lalu diamalkan.

  1. Al-Quran ialah sehebat-hebat blue print dan ensiklopedia untuk dijadikan panduan. Sunnah Rasul ialah sebijak-bijak hikmah untuk dijadikan pedoman. Diperkukuh dengan instrumen kias dan ijmak.

  1. Program pendidikan yang agung perlu mengizinkan berlakunya budaya penerokaan- budaya memenuhi pengisian minda, tanpa noktah-tanpa perhentian, selaras dengan falsafah dan sifat ilmu. Program pendidikan hendaklah berfungsi sebagai lebuh raya yang membolehkan insan sampai ke puncak pencapaian pada tahap kelajuan yang tidak dihalang oleh pelbagai sekatan.

  1. Lebuh raya pendidikan tidak harus dihalang dengan dengan terlalu banyak pondok tol hingga menjejaskan kelajuan. Oleh itu, dalam niat dan hasrat menjayakan program pendidikan yang lebih gemilang, pondok-pondok tol tidak perlu banyak, di sebaliknya pondok-pondok tol yang selama ini telah banyak menghalang kelajuan wajib dirobohkan.
  2. Program pendidikan ialah program pembangunan insaniah: program untuk mengangkat martabat insan ke peringkat tinggi selaras dengan semangat yang terkandung dalam ayat Al-Isra’:70   ‘Dan sesungguhnya telah Kami memuliakan anak-anak Adam, Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, Kami memberi rezeki daripada yang baik-baik dan Kami melebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas segala makhluk yang telah kami ciptakan.’

  1. PPPM yang sedang dalam proses diperkemas dan ke arah mencari formula bijak mengurus ilmu. Pelan ini diharapkan bukan sekadar bertujuan untuk mengisi minda pelajar dengan fakta tetapi untuk mendidik mereka berupaya berfikir- berdaya inovatif dan kreatif : keluar dari kepompong mengulangi perkara yang sama- berhijrah melakukan penerokaan.

  1. Jaya-gagalnya pelan ini amat bergantung kepada tenaga Pengetua dan guru di sekolah. Oleh itu amatlah kritikal untuk kumpulan paling penting ini diberikan fokus. Mereka ialah komponen penentu, bertenaga gergasi yang diamanahkan untuk memikul tanggung jawab besar mengilmukan insan.

  1.  Para guru menjadi penentu untuk meningkatkan pencapaian sekolah dari lemah menjadi kuat, dari kuat menjadi hebat. Para guru begitu instrumental mewujudkan persekitaran sekolah yang berupaya memberikan keyakinan untuk memenuhi harapan ibu bapa dan merealisasikan impian anak-anak. Manusia telah dicipta oleh Ilahi dengan jasad dan roh yang diperlengkap dengan akal dan nafsu. Untuk memagar manusia dari terpesong aspek memperlengkap dan mengisi akal adalah tanggungjawab besar yang wajib dilaksanakan.

  1. Para guru berperanan penting memberi sentuhan, membimbing dan mempengaruhi pemikiran serta mencanai budaya hidup ribuan insan. Jika peranan guru berkesan, akan kuranglah bilangan Mat Rempit di jalan raya, akan turunlah angka jenayah dalam negara, akan rendahlah penghuni dalam penjara. Akan imarahlah mesjid, akan lebih harmoni hidup warga, akan tenteramlah negara.

  1. Peranan guru ialah mendidik, menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu. Kata-kata guru ibarat air jernih yang mengalir dari gunung yang tinggi, melimpah rahmat, membawa kesuburan ke setiap pelosok lembah.Guru dimuliakan atas keyakinan bahawa guru itu memiliki sifat-sifat arif, bijak, budiman, luhur lagi ikhlas. Pepatah Jepun menyebut,’sehari bersama guru mengatasi seribu hari menelaah ilmu secara tekun.’

  1. Peranan guru amat besar jasanya, dengan reha hati melakukan pelbagai pengorbanan demi memastikan anak didik mencapai kejayaan cemerlang. Jasamu guru, selamanya abadi di hati beta, kekal dikenag dunia dan akhirat. Moga segala jasa baktimu, diterima sebagai amal soleh, dikurniakan berkat di dunia, dicucuri rahmat di alam baqa.

  1. Ada dalam kalangan guru kita telah kembali menyahut panggilan Ilahi. Sebagai tanda menghargai jasa bakti dan khidmat mereka, mengasuh dan mendidik kita, marilah sama-sama kita baca Al-Fatihah, semoga diterima Ilahi dan ganjaran disampaikan kepada roh-roh mereka. Al-Fatihah.

AMIN.

No comments:

Post a Comment